Monday, March 6, 2017

PANDUAN MELANCONG SECARA SENDIRI KE AUSTRALIA


PANDUAN MELANCONG SECARA SENDIRI KE AUSTRALIA

Melancong ke luar negara tanpa menggunakan pakej perlancongan adalah lebih seronok dan menjimatkan. Mengikuti pakej perlancongan akan mengikat kita dengan aturcara perjalanan yang ditetapkan. Akan berlaku keadaan dimana kita tidak suka dengan sesetengah lokasi lawatan itu tetapi terpaksa mengikuti dan menunggu hingga bosan peserta lain menghabiskan masa lawatan di situ. Manakala mungkin juga di satu tempat yang lain kita sangat menyukainya tetapi terpaksa menyingkatkan lawatan kerana masa yang diperuntukkan telah tamat. Dengan pergi sendiri kita boleh maksimumkan kehendak kita dan ubah aturcara lawatan sesuka hati. Jika bosan singkatkan lawatan dan jika seronok seharian di satu-satu tempat itu pun tidak mengapa terutama melibatkan kawasan membeli belah. Selain itu kos melancong dengan pakej  sebenarnya adalah lebih tinggi sehingga sekali ganda berbanding pergi sendiri.

Saya ingin berkongsi pengalaman melancong ke Australia secara sendiri atau sesetengah anggap sebagai ‘backpacker’ tetapi saya tidaklah menginap di kemudahan ‘bed & breakfast’ sebaliknya menginap di hotel atau kadang-kadang di apartmen lengkap dengan dapur. Saya pernah beberapa kali melawat Perth, Melbourne, Brisbane, Gold Coast, Sydney dan Canberra. Saya juga pernah memandu dari Sydney ke Melbourne sejauh lebih 1000 km pergi balik.

Kali pertama saya melawat Australia ialah Perth dalam tahun 2005 dan seterusnya saya datang lagi ke Perth pada tahun-tahun 2008, 2009, 2016 dan 2017. Setiap kali ke sini dan kemana-mana bandaraya di Australia ini, saya akan sewa kereta pandu sendiri. Melancong ke Australia menggunakan perkhidmatan awam sepenuhnya adalah tidak praktikal kerana negara ini sangat luas dimana dari satu lokasi perlancongan ke satu lokasi yang lain adalah berjauhan. Kecualilah jika anda hanya hendak fokus lawatan apa yang ada di pusat bandarnya sahaja kerana pengangkutan di pusat bandarnya adalah efisien. Jika fokus luar dari pusat bandar menggunakan perkhidmatan awam maka banyak masa dibazirkan dengan menunggu perkhidmatan tersebut kerana bilangan trip yang kurang menyebabkan kita tidak banyak pilihan masa perjalanan. Dengan menyewa kereta banyak tempat dapat kita lawati dalam sehari.

Bagi saya pergi ke Perth umpama balik kampung kerana sudah kerap ke sini dan sekarang jika memandu di sini tidak perlu merujuk peta pun kerana sudah ingat susunan jalan raya sama seperti saya mengingati peta jalan di Kuala Lumpur. Kali pertama dan kedua ke sini masih merujuk peta dan sesat beberapa kali. Saya pernah memandu lebih 500 km ke selatan Perth iaitu suatu bandar bernama Albany melalui pekan Armadel, Kojonup, Mount Barker dan kemudian Albany yang mana lautnya mengadap ke benua Antartika. Melihat ladang-ladang mereka yang terbentang luas, pohon-pohon yang berbeza dengan negara kita adalah satu keseronokan kepada saya.

Australia adalah Negara yang aman dan selamat walau kemana-mana pun kita pergi. Memandu di Australia adalah lebih tenang dan selesa berbanding memandu di Malaysia. Tidak ada motosikal yang menyelit di celah kereta di lorong tengah dan pemandu di sini rata-rata mematuhi undang-undang jalanraya. Jarang ada pemandu melanggar had laju dan lampu kuning bermakna berhenti kepada mereka.  Malah motosikal pun yang rata-ratanya berkuasa tinggi juga beratur bersama kereta bukan potong garisan terus ke depan seperti di Kuala Lumpur. Pernah sekali semasa memandu dari Canberra ke Albury Melbourne, saya mengikut belakang dua buah motosikal berkuasa tinggi yang berpakaian lengkap yang mana saya jangkakan akan memecut laju setelah saya dibelakangnya tetapi sebenarnya tidak, malahan menunggang sepanjang jalan mengkuti had laju. Begitu disiplin penunggang motosikal besar di sana dan cuba bandingkan penunggang motosikal besar ini di jalanraya Malaysia. Pasti berdesup laju.   


PERSEDIAN SEBELUM TERBANG

Beli tiket kapalterbang

Perkara pertama ialah membeli tiket kapal terbang. Jika hendak ke Perth ada banyak pilihan syarikat penerbangan samada Airasia, Malaysia Airlines, Malindo Air dan Singapore Airline (transit di Changi). Ambil peluang beli tiket awal atau semasa promosi jualan untuk dapat tiket murah. Airasia biasanya akan membuat jualan setiap bulan dan begitu juga Mas. Sepanjang ke Perth saya pernah menaiki Mas, Singapore Airlines dan Airasia. Jika hendak ke Melbourne dan Sydney pula kita boleh menaiki Airasia, Mas atau Singapore Airlines.

Jika hendak terus ke Gold Coast kita ada Airasia. Sebenarnya Brisbane dan Gold Coast adalah umpama bandar kembar jarak lebih kurang 70 km dengan satu jam perjalanan dengan kereta. Jika kita terbang ke Gold Coast dengan Airasia atau ke Brisbane dengan Mas kita boleh saja pilih samada mahu menginap di Gold Coast atau Brisbane. Saya pernah menaiki Mas ke Brisbane dan sewa kereta di lapangan terbang Brisbane dan terus ke hotel di Gold Coast. Untuk ke bandaraya Brisbane saya hanya membuat trip harian dari Gold Coast. Ia umpama tinggal di Seremban dan datang melawat Kuala Lumpur. Dekat saja bukan.  

Airasia sekarang membuat dua penerbangan setiap hari ke Perth, Melbourne dan Sydney. Dengan pesawat Airbas A330 setiap penerbangan memuatkan lebih 300 orang dan bermakna banyak kerusi disediakan setiap hari.  Mas dan Singapore Airlines juga menyediakan kapalterbang besar saiz Airasia ini kecuali Malindo Air menggunakan Boing 737 yang memuatkan tidak lebih 180 orang.

Tempahan hotel penginapan

Setelah membeli tiket penerbangan, barulah kita membuat tempahan hotel. Gunakan ejen jualan hotel dalam talian web seperti Agoda.com, booking.com, Hotel.com, Expedia, AirBNB, Trivago dan macam-macam lagi. Pada saya semua agen-agen ini boleh dipercayai kerana sepanjang saya melawat  bandar-bandar di seluruh dunia, saya hanya menggunakan laman web ini atau guna application mereka dalam telefon bimbit sahaja.

Perlu diingatkan untuk ke Australia dan kebanyakan negara, tempahan hotel adalah mengikut bilangan tetamu sama ada dewasa atau kanak-kanak. Definasi kanak-kanak yang berumur bawah 12 tahun. Jika di Malaysia kita menyewa bilik untuk 2 orang dan akan masuk hingga 4 orang. Tetapi di Australia jika memasuki hotel melebihi bilangan yang dinyatakan semasa tempahan atau pembelian adalah satu kesalahan dan akan didakwa umpama mencuri barang di kedai. Harga hotel juga berbeza mengikut bilangan tetamu. Jika 2 dewasa 2 kanak-kanak, nyatakan dengan jujur semasa membuat tempahan hotel dan bukannya menyatakan 2 dewasa sahaja kerana hendak harga murah dan dengan harapan anak-anak tumpang tidor dibilik yang sama. Tidak boleh sebegitu yer.

Di Australia adalah lebih baik menyewa apartmen lengkap dapur yang membolehkan kita memasak makanan mudah. Sekiranya kita membuat tempahan hotel untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak, system tempahan akan memaparkan hotel-hotel yang menyedia bilik-bilik yang mempunyai tempat tidur untuk 4 orang. Samada dua katil besar atau sebagainya. Pilihlah mengikut kesesuaian. Pemilihan lokasi berdasarkan keperluan jika menaiki kenderaan awam perlu berdekatan dengan pengangkutan awam dan jika menyewa kereta adalah lebih baik mencari hotel  di luar sedikit daripada pusat Bandar kerana harganya lebih murah. Lagipun kita bukannya sepanjang masa hendak melawat pusat bandarnya sahaja. Umpama jika datang ke Kuala Lumpur tetapi tinggal di hotel di luar Kuala Lumpur contohnya Selayang, Ampang, PJ,  Kajang dan sebagainya.

Sekiranya kita menyewa kereta adalah perlu memastikan hotel penginapan menyediakan kemudahan tempat letak kereta samada secara percuma atau berbayar. Seeloknya cari yang percuma. Kebanyakan hotel diluar bandar menyediakan letak kereta percuma manakala hotel di tengah bandar akan mengenakan bayaran tertentu yang agak mahal.

Memohon Visa Melawat Australia

Setiap rakyat Malaysia perlu mempunyai visa pelancong untuk melawat Australia. Visa boleh dipohon secara online di halaman   www.eta.immi.gov.au dengan bayaran AUD20.00 dengan menggunakan kad kredit atau kad debit (+- RM65 ikut tukaran sekarang). Hati-hati dengan laman pihak ketiga atau ejen web lain yang menawarkan visa Australia kerana mereka akan mengenakan bayaran yang lebih tinggi. Jika kita menaip visa Australia di laman carian pasti laman web ejen yang menawarkan khidmat visa yang mahal ini akan muncul dulu kerana mereka membuat iklan berbayar. Dengan web  pihak ketiga ini kita boleh dicaj sehingga AUD100.00 dan sebagainya. Ada yang menawarkan pakej dengan sim kad bersekali tetapi jangan terpedaya.

Kelulusan visa akan diketahui dalam masa itu juga ataupun dalam tempoh 48 jam dari tarikh pembelian. Sekiranya visa tidak diluluskan kita perlu hadir ke kedutaan Australia di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur dengan membawa pasport. Saya pun pernah bila kali pertama memohon visa online ini tetapi tidak diluluskan visa dan terpaksa pergi ke kedutaan mereka.

Pastikan tempoh laku passport tidak kurang 6 bulan semasa melawat Australia. Contoh jika melawat Autralia pada 1/6/2017 – 15/6/2017 pastikan tempoh tamat paspot ialah selepas 15/1/2018. Jika tarikh mati sebelum itu sila tukar passport anda sebelum memohon visa online ini. Apabila diluluskan tempoh sah visa ini selama setahun dan kita boleh memasuki Australia sekerap manapun dalam masa setahun ini tetapi setiap kemasukan ke Australia tidak boleh tinggal melebihi 3 bulan.

Urusan pengangkutan di Australia

Sekiranya kita menyewa kereta seeloknya membuat tempahan on-line kerana secara walk-in di kaunter kereta sewa di lapangan terbang, harganya biasa mahal. Terdapat banyak syarikat yang menyediakan khidmat sewa kerta di Australia termasuk Hertz, Budget, Thrifty, Bayswater, Redspot, Airies dan lain-lain lagi. Sila pastikan kad kredit mempunyai had yang tidak guna untuk mereka jadikan deposit sekuriti contohnya dalam RM2000-RM5000.

Sekiranya ingin menggunakan perkhidmatan awam sila semak jenis pengangkutan awam yang ada di sekitar lapangan terbang atau di bandar berkenaan. Biasanya lama web lapangan terbang menyedikan maklumat pengangkutan ke atau dari lapangan terbang. Jika ke Perth sila rujuk www.perthairport.com.au atau ke Gold Coast sila rujuk  www.goldcoastairport.com.au

Persediaan bagasi

Jika kita membeli tiket tambang murah Air Asia pastikan membeli luggage sekurang-kurang 15kg kerana bag yang dibenarkan dibawa masuk ke kabin hanya berat 7 kg sahaja mengikut saiz yang ditetapkan setiap seorang. Untuk bag check ini juga perlu diingatkan bahawa ianya untuk 2 bag setiap seorang sahaja. Sila timbang siap-siap dekat rumah supaya proses check in berjalan lancar. Jika tidak adalah menyusahkan untuk bayar excess baggage jika terlebih nanti. Untuk timbang bag dirumah boleh guna alat timbang berat badan jika ada. Timbang badan dahulu dan selepas itu timbang badan sambil pegang bag ditangan. Kemudian kira badan dengan bag tolak berat badan tanpa bag. Bakinya itulah berat bag.  


Adalah perlu diberi perhatian bahawa sebarang bentuk makanan tidak dibenarkan dibawa masuk ke Australia samada yang belum dimasak atau sesudah dimasak, makanan dalan tin dan maggie ke apa. Jika ada sila istihar semasa melalui  pemeriksaan paspot di lapangan terbang mereka. Jika istihar belum tentu dapat bawa masuk pun kadang-kadang boleh dan kadang-kadang mereka akan rampas (tertakluk jenis makanan). Denda yang tinggi jika tertangkap kerana tidak istihar. Untuk ketenangan dan untuk tidak “spoil mood holiday’ jika tertangkap maka tidak perlulah membawa apa jua makanan kerana semua makanan orang Asia (Asian food) ada ada dijual di Australia. Sila ke pasaraya Coles atau Woolworth untuk membeli bermacam produk makanan dan ada yang ada tanda halal.

1 comment:

mys@ra said...

Salam. Sy izzah. Sy plan bercuti ke sydney melb pd bulan 9 nnti. Boleh ke sy tanye pasal tempat penginapan, kereta sewa? Sy akn bwk ank sekali 3 org. Sy try search rumah di airbnb tp mcm blur xtau nak pilih mane satu. Thank you.